Thursday, September 2, 2010

TIPUAN SYAITAN

Oleh Us. Haji Mohd Zakuan b Haji Tak

Suasana Hari Raya Aidilfitri itu sudah mula terasa dan semakin tiba, bunyi dentuman mercun dan alunan lagu-lagu raya telah mulai berkumandang di radio malah di TV juga telah menyelitkan beberapa babak rancangan rancangan hiburan yang akan ditayangkan pada hari pertama, kedua dan hari raya ketiga. Pendek kata semua pihak telah bersedia benar untuk menyambut hari raya Aidilfitri pada tahun ini.

Masjid dan surau juga sudah nampak berbeza. Para pengunjung mulai lengang dan saf-saf yang dulunya dibelakang telah mula maju kehadapan lantaran tiada jemaah lagi yang bersembahyang terawikh dibelakang. Hanya jemaah tua yang sudah dimamah usia yang masih bertahan bersujud dan rukuq berterawikh. Kebanyakan para jemaah sudah mulai mengunjungi pasaraya dan gedung perniagaan bagi membeli keperluan pakaian dan peralatan untuk berhari raya. Kita melihat lori-lori kecil berselisih sakan antara satu sama lain menghantar sofa, permaidani, TV, peti ais dan meja makan yang kesemuanya dibeli baru demi menyambut Hari Raya Aidil Fitri.

Inilah penangan Hari Raya Aidilfitri. Cuba bayangkan apabila beberapa hari sebelum kita menyambut Ramadhan tiba, kita tidak begitu gembira dan riang seperti ini, malah kita kecut dan sughul menghadapi keadaan tidak makan dan minum pada siang hari, dan terpaksa pula menjaga kesopanan diri demi Ramadhan, tetapi apabila beberapa hari lagi untuk menyambut hari raya, maka keriangan pada wajah kita dan cara menyambutnya adalah luar biasa.

Inilah kesilapan besar orang kita, yang sangat suka akan perkara yang boleh mengembirakan hati dan mencetus hilai ketawa. Kita lupa bahawa bukan cara sebegini Islam mengajar dan menghayati hari hari terakhir Ramadhan atau menyambut Hariraya Aidil Fitri yang bakal tiba.

Sebuah hadis Rasulullah SAW riwayat Ibnu Umar yang bermaksud “ Sesiapa yang ingin mencari Lailatulqadar hendaklah pada malam kedua puluh tujuh (27)” dan dikuatkan lagi dengan hadis riwayat Muslim yang bermaksud “ Carilah dengan segala upaya kamu malam al-Qadar pada malam ganjil dari 10 malam akhir Ramadhan”.

Jelas Lailaitulqadar itu hanya berlaku pada satu malam sahaja dari Ramadhan, dan merupakan suatu perangsang kepada seluruh umat mukmin supaya berebut-berebut untuk mencari pahala dan ganjaran malam al-Qadar dengan melipat gandakan amal ibadat pada malam akhir Ramadhan al-Mubarak ini. Ianya merupakan ujian bagi kita mengapa Allah menyembunyikan Lailatulqadar itu dari pengetahuan kita. Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment