Tuesday, August 24, 2010

HURAIAN SOLAT WITIR

Oleh Us. Haji Mohd Zakuan b Haji Tak

Witir itu maknanya ganjil, yakni tidak genap bilangan rakaatnnya. Solat witir ini boleh dilakukan secara bersaorangan atau berjemaah. Solat witir adalah solat sunat Muakkadah yang dianjurkan dan digalakkan sangat oleh Rasulullah SAW, seperti keterangan hadis yang bermaksud:

“Sesungguhnya solat witir itu bukanlah wajib sepertimana solat-solat yang difardukan. Hanya Rasulullah SAW setelah mendirikan solat witir, pernah bersabda “ Wahai ahli Al-Quran, kerjakanlah solat witir, sebab Allah itu witir ( Maha Esa ) dan suka sekali kepada yang witir. ………………… ( HR. Ahmad)

Mengikut fahaman hadis diatas, bahawa solat witir itu mengandungi beberapa keutamaan, umpamanya:

• Solat witir itu lebih afdhal daripada solat-solat sunat rawatib yang lain.
• Para malaikat turut menyaksi diatas kesungguhan amalannya.

Waktu Solat Witir

Ulamak bersepakat bahawa waktu solat sunat witir itu ialah selepas solat Isyak hingga sampai fajar. Ini berdasarkan keterangan hadis riwayat daripada Abu Tamin Al-Jaisyani yang antara maksudnya:

Rasulullah bersabda : “ Sesungguhnya Allah memberikan tambahan kepadamu suatu solat, iaitu solat witir. Maka kerjakanlah solat itu antara solat Isyak dan hingga ke solat fajar “

Disegerakan Atau Mentakhirkan Solat Witir

Disunatkan pula untuk tidak melengah-lengahkan malah disegerakan solat witir itu pada permulaan malam bagi sesaorang yang takutkan kalau-kalau ia tidak dapat bangun pada akhir malam, Tetapi bagi seseoarang yang merasa sanggup dan dapat bangun pada akhir malam , maka mengtaakhirnya itulah yang lebih afdhal. Keterangan hujah diatas adalah terkandung didalam sebuah hadis riwayat Ahmad, Muslim, Tarmizi dan Ibu Majah.

Rasulullah berwasiat kepada sebahagian sahabat beliau, agar jangan tidur dahulu melainkan selepas mendirikan solat witir. Hal ini tentunya untuk sikap berhati-hati bagi seseorang yang bimbangkan atau merasa tidak boleh bangun pada akhir malam.

Bilangan Rakaat Solat Witir.

Mengikut pandangan ulamak fikah, terdapat tiga (3) cara solat witir itu dikerjakan. Ketiga-tiga cara ini diambil dari catatan hadis-hadis yang sohih. Terpulang kepada individu, mana satu yang lebih kita yakini dan fahami untuk melakukannya. Cara yang dimaksudkan, iaitu:

1. Boleh dikerjakan setiap dua rakaat satu salam, kemudian diikuti dengan satu rakaat lagi dengan bertasyahud dan salam.
2. Boleh dilakukan kesemua itu dilakukan dengan cara keseluruhannya sekali dengan dua kali tasyahud dan satu kali salam. Maknanya seluruh rakaat (umpamanya : tiga, lima, tujuh sembilan mahupun sebelas rakaat) disambung sekaligus tanpa tasyahud melainkan pada rakaat sebelum akhir, dan seterusnya berdiri semula untuk melanjutkan lagi satu rakaat lagi.
3. Boleh dilakukan keseluruh rakaat itu ( umpamanya : tiga, lima, tujuh, sembilan atau pun sebelas rakaat) disambung sekali dengan hanya satu tasyahud dan salam pada rakaat yang terakhir.

Bacaan Dalam Solat Witir

Didalam riwayat hadis yang diceritakan oleh Aisyah yang bermaksud :

“ Rasulullah didalam solat witir membaca Surah Al-A’la pada rakaat pertama, Surah Al-Kafirun pada rakaat kedua, sedang dalam rakaat ketiga Baginda membaca Surah AL-Ikhlas serta dua surah Muawwadzah iaitu surah Al-Falaq dan surah An-Nas.”

Tiada Dua Witir Pada Satu Malam

Bagi sesiapa yang telah mengerjakan witir penamat seumpama witir pada penutup solat tarawikh, kemudian terasa hendak mengerjakan solat sunat sunat yang lain, maka baginya bolehlah mendirikan semua solat-solat sunat yang hendak dikehendakninya, tetapi tidak pula mengulangi solat witir untuk kali keduanya pada malam yang sama. Hal ini merujuk kepada hadis riwayat Abu Daud, Nasa’i dan Tarmizi yang bermaksud:

Saya mendengar Rasullullah SAW bersabda “ Tiada dua kali witir pada satu malam.”

Oleh itu, apabila seseorang telah mendirikan solat witir selepas solat Isyak, ataupun witir penamat pada solat Tarawikh, maka apabila kita bangun malam untuk mendirikan sebarang solat-solat sunat, witer yang dilakukan tadi tidak menjadi penghalang untuk kita melakukan solat sunat yang lain, Maknanya kita boleh mendirikan solat sunat seberapa banyak pada malam yang sama. Tetapi jangan mengulangi lagi atau mendirikan solat witir sekali lagi, kerana solat witir telah kita kerjakan pada penutup solat terawikh tadi. Kerana tiada dua (2) witir dikerjakan pada satu malam yang sama.

Kekeliruan Solat Witir

Terdapat pendapat yang mengelirukan dimana mengatakan bahawa sesudah solat witir itu, maka tidak boleh dilakukan lagi apa-apa sembahyang sunat. Atau bilamana hendak dilakukan juga solat sunat yang lain perlulah DIBUKA kembali dengan mengerjakan solat mutlak dan selepas mengerjakan solat sunat maka hendaklah DITUTUP kembali dengan sunat witir. Pendapat ini adalah laro’ sama sekali dan tidak mempunyai bukti dari hadis yang sohih. Pendapat ini adalah sekadar pendapat yang tidak terdapat mana mana kitab yang muktabar. Kesilapan besar ialah menganggap bahawa witir itu adalah penutup segala-galanya. Dan lebih mengelirukan lagi, jika dibuat juga sebarang solat solat sunat maka solat yang dikerjakan itu adalah sia sia dan tidak berpahala langsung dari Allah SWT.

Nota : Tidak ada tutup dan buka dalam ibadah sembahyang.

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment