
Bermaksud: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya”.
Berdasarkan ayat ini kurniaan ganjaran sedekah memiliki pulangan yang tidak boleh dinilai harganya di dunia dan di akhirat. Ini dikuatkan lagi melalui firman Allah SWT di dalam surah Saba’ ayat 39:

Bermaksud: “Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya, dan ia juga yang menyempitkan baginya, dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya, dan Dialah jua sebaik-baik Pemberi rezeki.
Untuk mencari keredhaan dan keberkatan Allah SWT dalam amalan bersedekah atau menderma kita hendaklah mematuhi peraturan dan adab tertentu antaranya ialah hendaklah merahsiakannya dalam bersedekah dan itu lebih baik daripada menzahirkannya walaupun ikhlas. Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 271:

Bermaksud: “Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu memberikannya kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah lebih baik bagi kamu, dan Allah akan menghapuskan daripada kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (Ingatlah) Allah amat mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan”.
Apa yang dilakukan oleh ulama’ salaf, kita dapati mereka merahsiakan sedekah mereka daripada pengetahuan manusia dan masyarakat umum, hinggakan ada di antara mereka sengaja mencari orang fakir dan miskin yang buta. Mereka memberi sedekah kepada golongan itu supaya tidak diketahui siapakah yang memberinya. Mereka juga memberi derma atau sedekah dengan memasukkan atau mengikatnya kepada seseorang si fakir atau miskin pada pakaiannya ketika sedang tidur. Namun daripada itu kita juga dibolehkan untuk mewar-warkan pemberian tersebut bagi tujuan menggalakkan masyarakat melakukan sedekah. Ibnu Abil Ja’ad berkata: “Sedekah itu menutup tujuh puluh pintu keburukan dan keutamaan antara sedekah secara terang-terangan dengan yang disembunyikan itu ialah bahawa yang kedua lebih utama dari yang pertama dengan tujuh puluh kali ganda”.
No comments:
Post a Comment