Thursday, February 10, 2011

Harimau Malaya Makin Garang

SELEPAS kejayaan menjulang trofi pada Kejohanan Piala Suzuki AFF 2010 Disember tahun lalu, skuad bola sepak kebangsaan meneruskan rentak garang.

Kali ini, skuad bimbingan K. Rajagobal itu tampil dengan prestasi penuh konsisten apabila berjaya mencatat kemenangan 2-0 ke atas Hong Kong dalam satu aksi persahabatan di Stadium Shah Alam malam tadi.

Photobucket

Kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim dan pemain sayap Selangor, Mohd. Amirulhadi Zainal muncul wira selepas masing-masing meledak satu gol pada minit ke-43 dan 90.

Meskipun sekadar mencatat kemenangan ke atas pasukan yang menduduki ranking lebih rendah berbanding skuad negara, kualiti serta corak permainan yang dipamerkan anak-anak buah Rajagopal pada perlawanan itu wajar diberikan pujian.

Ketika ini, Skuad negara menghuni ranking ke-140 dunia manakala Hong Kong pula di tangga ke-143.

Jika sebelum ini ada segelintir pihak menganggap kejayaan yang dilakar barisan pemain negara pada Piala Suzuki AFF tahun lalu tidak akan bertahan lama, ternyata andaian tersebut jauh meleset sama sekali.

Kemenangan ke atas Hong Kong itu sudah mampu membuktikan segala-galanya biarpun diakui masih banyak kelemahan yang perlu dibaiki.

Bagaimanapun, anak-anak buah Rajagopal wajar diberikan kredit di atas usaha serta komitmen mereka bagi mengembalikan semula kegemilangan sukan bola sepak tanah air di pentas antarabangsa.

Ini boleh dianggap sebagai permulaan dan diharapkan barisan pemain negara yang ada ketika ini mampu melangkah lebih jauh lagi.

Andai rantau Asia Tenggara berjaya ditakluk, tidak mustahil skuad negara mampu layak beraksi ke saingan Piala Asia dan siapa tahu ke Piala Dunia pula.

Pada aksi semalam, hampir 10,000 ribu penonton hadir ke stadium memberikan sokongan kepada skuad negara yang jelas menguasai perlawanan berbanding Hong Kong.

Jika tidak disebabkan tiang gol, anak-anak buah Rajagobal sudah pasti meraih gol awal menerusi rembatan voli penyerang baru kelab Indonesia, Pelita Jaya, Mohd. Safee Mohd. Sali dari luar kotak penalti seawal mini ke-12.

Skuad negara terus garang apabila melancarkan serangan bertali arus ke arah kubu pertahanan Hong Kong namun masih gagal memecah kebuntuan.

Namun, gol yang dicari-cari skuad negara akhirnya menjelma menerusi gerakan solo Safiq ke dalam kotak penalti pada minit ke-43 dan keputusan tersebut kekal sehingga tamat babak pertama perlawanan.

Sebaik babak kedua bersambung, Rajagobal melakukan enam pertukaran dan kemasukan Amirulhadi yang masuk menggantikan Mohd. Ashaari Samsudin ternyata membuahkan hasil apabila dia menjaringkan gol kedua skuad negara pada lewat babak perlawanan.

Keputusan 2-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan - Sumber: Kosmo!

2 comments: